Thursday, August 31, 2006

Kembali kepada Pencipta

Ada sekali laptop saya hampir seminggu menghadapi masalah untuk di hubungkan ke internet. Puas saya tekan itu ini, dan buat segala benda yang saya ‘rasa’ saya tahu, dan saya rasa saya ‘boleh’ buat. Namun, hasilnya tetap sama. Gagal.

Kemudian, saya tergerak hati melakukan sesuatu. Saya dail talian interaktif pelanggan Streamyx bagi mendapatkan bantuan. Dari jauh, saya diajar setting semula network connection dan segala macam benda yang selama ini saya tahu clik tetapi tidak tahu untuk di buat apa. Akhirnya, tak sampai 15 minit, internet berjaya disambungkan kembali ke laptop. Saya lega dan puas hati, kerana saya menemui jawapan yang sebenar – iaitu kembali kepada pencipta.

Saya teringat satu ceramah yang saya hadiri lama dahulu tetapi satu analogi yang diberi terus melekat dalam fikiran. Menurut penceramah itu, keretanya rosak pada suatu hari. Lalu dia menghantarnya ke sebuah bengkel. Beberapa hari kemudian, keretanya rosak lagi. Dihantarnya semula ke bengkel yang sama. Setelah beberapa kali, masalah yang sama timbul. Keretanya tetap rosak. Dia naik radang. Banyak duit yang terbang, begitu juga masa.

Akhirnya dia ambil keputusan menghantarnya ke pusat servis kereta itu, di ibu pejabatnya. Dia merujuk masalah kepada kakitangan disitu dan diberi nasihat bagi menyelesaikannya. Setelah dibaiki, akhirnya kereta tersebut baik seperti sedia kala. Tidak lagi rosak. Dia merasa puas dan segala masalahnya selesai.

Moralnya? Penceramah itu memberi analogi yang menarik. Jika kereta rosak, kembalikan kepada penciptanya - hantar kepada pusat servisnya, janganlah hantar kepada bengkel, nanti macam-macam dibuatnya. Samalah kita, manusia yang serba tidak sempurna. Jika kita menghadapi masalah, kesukaran dalam hidup, fikiran kusut, tidak keruan, dan seribu satu perkara lagi, cuma satu sahaja jawapannya. Kembalilah kepada Pencipta – ALLAH. Dialah tempat untuk kita bercerita dan mengadu akan segala-galanya, tempat memohon petunjuk dan pertolongan agar ditunjukkan kita jalan yang lurus dan arah yang tepat untuk kita terus melangkah. Selain dari-Nya, bukanlah ketenangan yang kita terima. Mungkin hidup kita lebih teruk dari itu dan tidak ada penyelesaiannya. Hidup akan menjadi lebih teruk.

Kesimpulannya mudah. Saya hadapi masalah internet, terus telefon Streamyx. Kereta rosak pegilah ke pusat servisnya. Kita pula, kembalilah kepada Allah. Dia Yang Maha Agung dan Maha Penyayang.

Sentiasalah kembali kepada pencipta!

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]