Sunday, December 03, 2006

Tengku Datuk Ibrahim Petra Tengku Indra Petra

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Eksekutif Petra Perdana

Biarpun Tengku Datuk Ibrahim Petra Tengku Indra Petra lahir dalam keluarga diraja Kelantan, ini tidak dijadikan sebagai atu halangan untuknya membataskan pergaulan dengan rakyat biasa. Malah, beliau tidak pernah menggunakan statusnya sebagai jalan mudah bagi menikmati kehidupan mewah tanpa sebarang usaha.

Beliau tidak menolak apabila diminta bapanya untuk bekerja sebagai inspektor bas mini di Malputra, iaitu syarikat bas yang ditubuhkan oleh bapanya selepas bersara sebagai duta untuk mengendalikan operasi bas mini pertama di lembah klang pada 1976.

Pekerjaan ini dilakukan ketika sedang menunggu panggilan melanjutkan pengajian di luar negara. Beliau sempat meraih pengalaman selama enam bulan sebelum berlepas ke AS bagi melanjutkan pelajaran di University of Oregon dalam bidang Sains (Pemasaran).

Sebagai inspektor bas, beliau memulakan kerja seawal jam 6 pagi sehingga 6 petang. Setiap hari beliau membawa bekal kertas kotak yang akan digunakan mengalas tempat duduk kerana kerap kali terpakasa duduk dibahagian atas enjin bas.

Apabila kembali ke Malaysia pada 1980, beliau menyertai Petronas sebagai Eksekutif Pemasaran dan berkhidmat selama dua tahun sebelum menurut jejak ayahnya sebagai pegawai Tadbir dan Diplomat dengan menyertai Wisma Putra pada 1982.

Namun begitu, Tengku Ibrahim Petra meninggalkan kerjaya tersebut apabila bapanya meninggal dunia. Beliau tidak mempunyai pilihan kecuali menguruskan perniagaan bapanya menerusi Petra Finance Bhd, bidang yang jauh dari kepentingannya. Namun, beliau ternyata tidak sampai hati berurusan dengan pelanggan yang merayu meminta tempoh bayaran ditangguhkan atau dilanjutkan walaupun telah dikenakan pelbagai syarat.

“Ini membawa kepada keputusan lembaga pengarah Petra Finance menjual kepentingan syarikat kewangan itu kepada PhileoAllied Group pada 1995. Ia adalah keputusan yang tepat dan saya tidak pernah menyesal melepaskan pegangan itu.”

Tengku Ibrahim kemudian memberi tumpuan kepada syarikatnya sendiri, Petra Resouces Sdn Bhd yan mengendalikan perdagangan barangan dan kelengkapan kejuruteraan import berkaitan minyak dan gas dengan pelanggan pertama, Petronas Carigali Sdn Bhd. Syarikatnya kemudian berkembang apabila mendapat projek besar kedua dari syarikat minyak Shell di Miri, Sarawal pada 1991.

Dengan potensi besar dalam bidang minyak dan gas, beliau berjaya membawa Petra Perdana sebagai syarkat penyedia perkhidmatan sokongan luar pesisir bagi industri minyak dan gas yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia untuk menjadi syarikat yang disegani.

Bermula dengan tiga kakitangan, iaitu beliau, seorang rakan yang bersamanya di Petronas dan seorang budak pejabat, Petra Perdana kini menggaji 1600 kakitangan yang bukan sahaja berkhidmat di Malaysia tetapi juga di luar negara.

Tengku Ibrahim Petra menyifatkan kunci utama kejayaannya ialah fokus dan kerja keras, serta disiplin tinggi yang ditanam dalam dirinya oleh bapa dan ibunya. Beliau tidak menafikan begitu kuat disiplin dan sentiasa berdikari, sifat yang diterapkan dalam dirinya sejak kecil kerana telah kesekolah berasrama sejak berusia tujuh tahun lagi.

Beliau kerap kali turun padang melihat sendiri lokasi projek bagi memastikan ia berjalan lancar dan tidak hanya menyerah bulat-bulat kepada pengurusnya.

Falsafah jangan sombong dan jangan bongkak dipegangnya sepanjang masa dan inilah juga yang menjadi kekuatan kepada jalinan hubungan beliau dengan pelanggan Petra Perdana selama hampir 18 tahun beroperasi.


Sumber: Tak guna keluarga untuk jaya, Berita Harian 30 September 2006.

Tips bekerja dan berurusan dengan pekerja wanita

(Tips daripada Mansoor Wan Abdullah, Presiden Avon Malaysia)

1. Ketua adalah ketua. Apa sahaja yang dibincangkan dalam mesuarat atau apa-apa sahaja, yang penting ialah isu. Ia tiada kena mengena langsung dengan personaliti. “Saya tidak berbincang tentang hal peribadi tetapi berbincang berdasarkan isu-isu tertentu. Yang kedua jangan simpan didalam hati.”

2. Diri sendiri harus menjadi contoh kepada orang lain.
“Bagi saya, apabila kita bekerja dengan syarikat seperti ini, kita kena cakap pada diri sendiri apabila kita masuk bekerja, kita kena jadi aset kepada syarikat, bukan liabiliti. Kalau kita sendiri yang jadi liabiliti, bagaimana syarikat hendak maju. Jika jadi aset, apa yang kita buat akan dicontohi oleh orang lain.”

3. Berurusan dengan wanita paling senang sekali dan tidaklah sesukar mana.
“Malah, kita kadang-kadang mendapat maklumat yang lebih daripada mereka. Sebab wanita ini bersikap lebih terbuka dan sedia menerima apa sahaja arahan.”

4. Rapatkan jurang dengan pekerja kerana ia merupakan satu rangsangan bagi pekerja lebih bersemangat dan bermotivasi dalam bekerja.
“Saya sendiri bila makan dikantin, saya bercampur dengan budak-budak. Tidak ada jurang antara kami. Sebaliknya, mereka akan bekerja dengan lebih kuat lagi.

5. Perubahan perlu dilakukan mengiku keadaan semasa.
“Dengan syarikat terdahulu, mungkin cara saya agak kasar dan tegas. Apabila melaksanakan pengurusan disini (Avon Malaysia), saya perlu lebih berhati-hati.”

Mansoor Wan Abdullah

Presiden Avon Malaysia

Mansoor Wan Abdullah dilahirkan dalam keluarga yang agak susah. Beliau merupakan anak keempat daripada sembilan adik beradik. Ayahnya meninggal dunia apabila beliau baru mencecah usia tujuh tahun.

“Sejak itu, emak yang menanggung keperluan kami adik beradik. Pernah kami makan sadin satu tin dan berkongsi 10 orang. Ketika itu, tiada siapa yang mahu mengaku saudara kerana takut kami meminjam duit.”

Kehidupan mereka yang serba kekurangan bukanlah penghalang untuknya berusaha dan belajar bersungguh-sungguh. Akhirnya beliau melayakkan diri menuntut di Maktab Tentera Diraja Malaysia dan seterusnya melanjutkan pengajian di Universiti Putra (Pertanian) Malaysia.

Beliau menyertai Avon Malaysia pada tahun 1992 sebagai Pengarah Khidmat Pelanggan, sebelum mendaki tangga karier satu demi satu sehingga dilantik sebagai Presiden. Sebelum itu bersama Malaysia Tobacco sejak 1978.

Biarpun menerajui sebuah syarikat kecantikan yang 70 peratus pekerjanya adalah wanita, ia bukanlah satu masalah kepadanya. Malah, beliau merasa bangga dengan kejayaan wanita Malaysia dan tidak membezakan jantina kerana setiap mereka mempunyai nilai atau kualiti, pengurusan dan kemanusiaan yang sama.

“Biarpun motto Avon itu sendiri ialah The Company For Women (Syarikat Untuk Wanita), saya tidak merasa terasing saya tetap di kelilingi oleh wanita – emak, isteri, kakak, adik dan anak perempuan.”


Kisah yang menarik:
Ketika di Malaysian Tobacco, beliau bertugas sebagai pembeli daun tembakau. Pada tahun 1980, cuma ada 10 pembeli daun tembakau di seluruh Malaysia. Biasanya, daun tembakau yang dibeli ditimbang terlebih dahulu. Kemudian beliau akan mengajak budak-budak yang bekerja sebagai penimbang tembakau makan dan minum bersama dengan pengurus mereka. Mereka kebanyakannya baru tamat SPM. Ketika berbual-bual, beliau menasihati mereka agar melakukan sesuatu dalam hidup supaya hidup mereka tidak terhad sebagai budak penimbang tembakau sahaja.

Kira-kira 15 tahun kemudian selepas menyertai Avon, beliau ditahan kerana memandu melepasi had laju. Sebaik sahaja pegawai polis datang, beliau menerima tabik hormat. Beliau terkejut kerana tidak menyangka pegawai polis itu ialah budak penimbang tembakau yang pernah dinasihatinya 15 tahun dahulu.

“Encik Mansoor mungkin tidak ingat. 15 tahun lepas, saya sekadar budak penimbang tembakau. Sekarang saya mungkin ada tiga paku atas bahu tetapi 15 tahun yang lalu, Encik Mansoor ada tiga paku dalam hati.”

Baginya, peristiwa ini cukup menarik. “Pada saya itu adalah titik perubahan. Kita buat baik pada orang, hormat orang, orang akan ingat apa yang kita lakukan. Bukan susah pun buat baik.”


Harapannya:
Beliau berbangga kerana banyak cawangan luar negara datang ke Avon Malaysia bagi melihat cara bagaimana mereka mengurus dan mengembangkan perniagan. Malah, ada juga para pegawainya dihantar ke luar negara bagi memula atau memperbaiki pengurursan Avon di negara lain.

“Ini antara kejayaan kita. Bermakna peluang untuk orang kita lebih maju dalan syarikat ini adalah besar. Secara tidak langsung, kita mampu meletakkan nama Malaysia di pentas dunia.”

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]