Tuesday, August 29, 2006

Kisah kupu-kupu

Alkisah seorang saintis yang asyik memerhatikan kepompong. Dia dapati si anak kupu-kupu bergelut untuk keluar dari kepompong. Atas sebab kesian, saintis tersebut memotong bucu kepompong untuk mengeluarkan si anak kupu-kupu itu tadi.

Anak kupu-kupu itu merangkak-rangkak. Kepaknya kecut dan badannya agak kecil. Saintis itu menunggu dengan harapan badannya akan membesar dan kepaknya akan mengembang. Sangkaannya meleset sekali kerana kupu-kupu itu cacat seumur hidup dan tidak dapat terbang.

Apa yang saintis itu tidak tahu, pergelutan itu suatu perencanaan Allah swt agar cecair dalam badannya mengalir keseluruh kepak, mengembangkan kepak tersebut dan memperkukuhkan binaannya.

Dalam hidup kita begitu juga - kekadang - pergelutan, perjuangan dan usaha gigih diperlukan agar kita berjaya dan kuat dalam menjalani hidup ini. Kalau Allah membiarkan hidup kita ini tanpa dugaan, cubaan dan pergelutan - kita akan gagal dalam kehidupan kita ini.

"Sometimes struggles are exactly what we need in our life. If Allah allowed us to go through life without obstacles, it would cripple us. We would not be asstrong as we could have been. And... we would never fly."

CEO: Latar pendidikan bukan penghalang kejayaan.

Dalam hidup ini, janganlah kita terhadkan diri dalam satu kemahiran tertentu sahaja. Pelbagaikan kemahiran dan tingkatkan ilmu di dada. Latar belakang pendidikan yang kita miliki bukanlah suatu halangan untuk kita memajukan diri untuk menerokai bidang lain. Itu sekadar asas sahaja, iaitu memberi kita pendedahan tentang sesuatu bidang. Selepas itu, terpulanglah kepada kita untuk melihat masa depan.

Cuba perhatikan nama-nama dibawah

1.Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai latar belakang dalam bidang kedoktoran tetapi menjadi Perdana Menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat.
2.Ahmad Izham Omar, COO 8tv mempunyai kelulusan dalam bidang muzik. Beliau pernah membuka syarikat rakamannya sendiri, Positive Tone yang banyak menerbitkan album Inggeris artis tempatan. Apabila beliau beralih ke 8tv, namanya semakin harum dan dia semakin dikenali.
3.Begitu juga dengan Tony Fernandes, yang turut beralih dari bidang muzik untuk terjun ke dunia penerbangan walaupun tidak mempunyai apa-apa kelayakan mahupun pengetahuan dalam bidang ini. CEO Air Asia ini menjadikan Air Asia sebagai syarikat penerbangan tambang murah yang semakin dekat dihati rakyat. Malah, kini kebanyakan rakyat Malaysia memilih untuk terbang bersama Air Asia berbanding pesaing terdekatnya, MAS.

Cuba perhatikan kisah benar ini.

Datin Paduka Siti Sa’diah Sheikh Bakir, Pengarah Urusan KPJ Healthcare Bhd.
Beliau menerima ijazah dalam bidang Ekonomi dari Universiti Malaya pada 1974. Biarpun tidak mempunyai latarbelakang dalam bidang perubatan, beliau kini menjadi Pengarah Urusan KPJ Healthcare Bhd, sebuah syarikat yang bertanggungjawab memberi perkhidmatan kesihatan swasta terkemuka di Malaysia.

KPJ Healthcare Bhd bermula dengan Hospital Pakar Johor pada 1981 dan Hospital Tawakal pada 1988. Kini beliau mengetuai sebuah syarikat yang mengurus 17 buah hospital swasta, 13 daripadanya terletak di Malaysia, 3 di Indonesia dan satu di Dhaka, Bangladesh.

Ramai yang menyangka beliau mempunyai latarbelakang kedoktoran kerana mampu mengurus sebuah syarikat yang terlibat dalam hal-ehwal kesihatan dan perubatan. Malah, ada yang menyangka beliau ialah seorang doktor. Tetapi itu bukanlah halangan untuk beliau mengurus sebuah syarikat yang turut mempunyai beberapa buah kolej kejururawatan.

Ilmu yang anda di sekolah, universiti atau kolej terima bukanlah penentu masa depan anda. Ia sekadar pencetus untuk anda terus melangkah ke hadapan, bukannya untuk menarik anda ke belakang. Yang penting, anda tahu apa yang anda mahu dan berusahalah kearah itu.

C.E.O

Pernah bercita-cita menjadi CEO? Atau ini pertama kali mendengar perkataan CEO? Saya mendengar perkataan ini semasa di tahun pertama menuntut, ketika itu sedang berdiskusi dengan rakan mengenai subjek Pengurusan. Naif sungguh nampaknya saya, pertama kali dengar perkataan itu. Selalu yang saya dengar ialah Pengarah Urusan, Pengerusi, Presiden, Pengarah, Pengurus Besar dan Pengurus.

Sejak itu pelbagai perkara bermain di fikiran saya. Apa agaknya yang CEO buat? Apa tugas CEO sebenarnya? Sudah tentu macam-macam perkara. Tetapi, pernahkah anda terfikir apa yang CEO fikirkan?

Oleh kerana mereka adalah kepala syarikat, maka segala urusan syarikat terletak di bawah tanggungjawab CEO. Saya ada membeli sebuah buku (kalau boleh dikatakan buku) atau direktori berjudul ‘Bumi CEO Malaysia 2005 – Malaysia’s Top 200 Bumiputera Corporate Chiefs.’ Buku ini menyenaraikan 200 CEO Bumiputera yang berkhidmat di syarikat yang terdapat di Malaysia.

Buku ini terbitan 2005, jadi mungkin ada CEO yang tidak lagi berkhidmat dengan sesuatu syarikat itu atau sudah naik pangkat atau pelbagai kemungkinan lain. Apa yang penting ialah siapa mereka dan apa yang mereka lakukan. Itu yang saya ingin tahu.

Ada kisah menarik yang mahu saya kongsikan. Nanti saya pos satu-satu dalam entri. Kalau anda bercita-cita mahu menjadi CEO atau mahu membaca kisah mereka, teruskan membaca entri berikutnya.

Positif Sahaja

Kenapa namanya Positif Sahaja? Kerana saya mahu yang positif sahaja di sini. Saya mahu berkongsi tentang perkara yang positif dan pandangan yang positif. Saya mahu fokus dan melihat kepada positif.

Itu sahaja. Dan positif sahaja.

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]