Friday, September 01, 2006

Bermula dengan cemerlang

Mengapa perlu bermula dengan cemerlang? Bila permulaan cemerlang, perjalanannya pasti cemerlang dan penamatnya gemilang. Bermula adalah perkara yang penting. Bila dah mula, akan adalah penghujungnya. Jika tidak bermula, kita belum tahu setakat mana kemampuan. Bila dah bermula, kita pasti akan mencari jalan penamat. Tetapi persoalannya, bagaimana harus bermula?

Ada beberapa tips yang boleh saya kongsikan:
1.Tetapkan matlamat apa sebenarnya yang kita mahukan. Jika kita mahu menjadi jutawan pada usia 30 tahun, berusahalah dari sekarang. Kaji bagaimana jutawan muda bekerja. Lihat bagaimana mereka berusaha memantapkan diri dan kerjaya bagi mendapatkan gelaran itu. Lihatlah bidang yang mereka ceburi dan contohi langkah yang mereka ambil. Pasti ada tips dari mereka.

2.Rancang dan lakar pelan perjalanan hidup. Ini penting supaya perjalanan yang telah kita atur selari dengan matlamat yang telah kita tetapkan. Jika berimpian mahu mempunyai sebuah syarikat perabot dua tahun lagi, perbanyakkan ilmu tentang industri perabot. Apakah perabot kegemaran rakyat Malaysia, kos, keuntungan, anggaran pendapatan syarikat, dan jika boleh bekerjalah dengan syarikat perabot. Pasti kita tahu banyak rahsa yang tidak kita sedari. Lebih mudah, belajarlah dari bawah.

3.Usaha dengan gigih. Pastikan berusaha dengan bersungguh-sungguh dan memandang kepada matlamat sebagai pembakar semangat. Sentiasalah cergas setiap hari dan ada keinginan untuk belajar. Apabila berjalan, pastikan anda berjalan lagu, buat kerja dengan pantas, bercakap atas perkara yang perlu dan ringan tulang.

4.Contohi kejayaan orang lain. Jika anda menjadikan Pengarah Urusan sebagai sumber inspirasi, contohilah apa yang dilakukan setiap hari. Lihat bagaimana dia menguruskan masanya, bagaimana dia bercakap, bagaimana dia menghadapi masalah, cara dia membuat keputusan dan sebagainya. Ia menjadi contoh yang terdekat untuk anda ikuti.

5.Jangan mudah putus asa. Peganglah kepada matlamat anda dan buang perasaan putus asa. Anda perlu sedar, kerja keras sahaja yang membantu kejayaan anda. Tiada ruang kejayaan bagi orang malas atu berputus asa.

6.Sentiasa fokus dan ingat matlamat. Setiap hari, ingatkan diri anda tentang matlamat yang anda telah tetapkan dari awal. Jika anda mahu memasarkan produk anda ke luar negeri, maka tetapkanlah matlamat dan fokuskan pemikiran kearah itu. Beli satu peta dunia dan tandakan mana-mana negara yang anda ingin tembusi. Lihatlah peta ini setiap hari dan anda pasti sentiasa teruja dan fokus.

7.Positifkan diri walau apapun yang berlaku. Anda perlu ingat, setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Jika hari ini kertas kerja perniagaan anda ditolak, janganlah merasa hampa. Apa yang perlu anda buat ialah semak kembalikertas kerja itu dan buat kajian semula. Mungkin ada bahagian yang anda tidak sentuh denganmendalam sehingga ia di tolak. Inilah masanya untuk anda perbaiki diri dan perkemaskan usaha.

8.Jangan mudah terpengaruh dengan elemen negatif. Buangkannya jauh-jauh dan ingat kepada perkara yang baik-baik sahaja. Bayangkan kejayaan ada di depan mata dan anda hanya perlu melangkah untuk mendapatkannya. Elemen negatif sekadar membawa sikap yang negatif. Diri anda akan menjadi mundur dan kejayaan tidak akan menghampiri.

Ini adalah sebahagian tips sahaja. Selebihnya adalah pada diri kita sendiri. Jika mahu cemerlang, berusahalah dari sekarang. Tetapkan matlamat dan pasanglah impian. Ingat, sky is the limit. Tiada yang mustahil dalam hidup ini!

Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]