Sunday, December 03, 2006

Tengku Datuk Ibrahim Petra Tengku Indra Petra

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Eksekutif Petra Perdana

Biarpun Tengku Datuk Ibrahim Petra Tengku Indra Petra lahir dalam keluarga diraja Kelantan, ini tidak dijadikan sebagai atu halangan untuknya membataskan pergaulan dengan rakyat biasa. Malah, beliau tidak pernah menggunakan statusnya sebagai jalan mudah bagi menikmati kehidupan mewah tanpa sebarang usaha.

Beliau tidak menolak apabila diminta bapanya untuk bekerja sebagai inspektor bas mini di Malputra, iaitu syarikat bas yang ditubuhkan oleh bapanya selepas bersara sebagai duta untuk mengendalikan operasi bas mini pertama di lembah klang pada 1976.

Pekerjaan ini dilakukan ketika sedang menunggu panggilan melanjutkan pengajian di luar negara. Beliau sempat meraih pengalaman selama enam bulan sebelum berlepas ke AS bagi melanjutkan pelajaran di University of Oregon dalam bidang Sains (Pemasaran).

Sebagai inspektor bas, beliau memulakan kerja seawal jam 6 pagi sehingga 6 petang. Setiap hari beliau membawa bekal kertas kotak yang akan digunakan mengalas tempat duduk kerana kerap kali terpakasa duduk dibahagian atas enjin bas.

Apabila kembali ke Malaysia pada 1980, beliau menyertai Petronas sebagai Eksekutif Pemasaran dan berkhidmat selama dua tahun sebelum menurut jejak ayahnya sebagai pegawai Tadbir dan Diplomat dengan menyertai Wisma Putra pada 1982.

Namun begitu, Tengku Ibrahim Petra meninggalkan kerjaya tersebut apabila bapanya meninggal dunia. Beliau tidak mempunyai pilihan kecuali menguruskan perniagaan bapanya menerusi Petra Finance Bhd, bidang yang jauh dari kepentingannya. Namun, beliau ternyata tidak sampai hati berurusan dengan pelanggan yang merayu meminta tempoh bayaran ditangguhkan atau dilanjutkan walaupun telah dikenakan pelbagai syarat.

“Ini membawa kepada keputusan lembaga pengarah Petra Finance menjual kepentingan syarikat kewangan itu kepada PhileoAllied Group pada 1995. Ia adalah keputusan yang tepat dan saya tidak pernah menyesal melepaskan pegangan itu.”

Tengku Ibrahim kemudian memberi tumpuan kepada syarikatnya sendiri, Petra Resouces Sdn Bhd yan mengendalikan perdagangan barangan dan kelengkapan kejuruteraan import berkaitan minyak dan gas dengan pelanggan pertama, Petronas Carigali Sdn Bhd. Syarikatnya kemudian berkembang apabila mendapat projek besar kedua dari syarikat minyak Shell di Miri, Sarawal pada 1991.

Dengan potensi besar dalam bidang minyak dan gas, beliau berjaya membawa Petra Perdana sebagai syarkat penyedia perkhidmatan sokongan luar pesisir bagi industri minyak dan gas yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia untuk menjadi syarikat yang disegani.

Bermula dengan tiga kakitangan, iaitu beliau, seorang rakan yang bersamanya di Petronas dan seorang budak pejabat, Petra Perdana kini menggaji 1600 kakitangan yang bukan sahaja berkhidmat di Malaysia tetapi juga di luar negara.

Tengku Ibrahim Petra menyifatkan kunci utama kejayaannya ialah fokus dan kerja keras, serta disiplin tinggi yang ditanam dalam dirinya oleh bapa dan ibunya. Beliau tidak menafikan begitu kuat disiplin dan sentiasa berdikari, sifat yang diterapkan dalam dirinya sejak kecil kerana telah kesekolah berasrama sejak berusia tujuh tahun lagi.

Beliau kerap kali turun padang melihat sendiri lokasi projek bagi memastikan ia berjalan lancar dan tidak hanya menyerah bulat-bulat kepada pengurusnya.

Falsafah jangan sombong dan jangan bongkak dipegangnya sepanjang masa dan inilah juga yang menjadi kekuatan kepada jalinan hubungan beliau dengan pelanggan Petra Perdana selama hampir 18 tahun beroperasi.


Sumber: Tak guna keluarga untuk jaya, Berita Harian 30 September 2006.

Tips bekerja dan berurusan dengan pekerja wanita

(Tips daripada Mansoor Wan Abdullah, Presiden Avon Malaysia)

1. Ketua adalah ketua. Apa sahaja yang dibincangkan dalam mesuarat atau apa-apa sahaja, yang penting ialah isu. Ia tiada kena mengena langsung dengan personaliti. “Saya tidak berbincang tentang hal peribadi tetapi berbincang berdasarkan isu-isu tertentu. Yang kedua jangan simpan didalam hati.”

2. Diri sendiri harus menjadi contoh kepada orang lain.
“Bagi saya, apabila kita bekerja dengan syarikat seperti ini, kita kena cakap pada diri sendiri apabila kita masuk bekerja, kita kena jadi aset kepada syarikat, bukan liabiliti. Kalau kita sendiri yang jadi liabiliti, bagaimana syarikat hendak maju. Jika jadi aset, apa yang kita buat akan dicontohi oleh orang lain.”

3. Berurusan dengan wanita paling senang sekali dan tidaklah sesukar mana.
“Malah, kita kadang-kadang mendapat maklumat yang lebih daripada mereka. Sebab wanita ini bersikap lebih terbuka dan sedia menerima apa sahaja arahan.”

4. Rapatkan jurang dengan pekerja kerana ia merupakan satu rangsangan bagi pekerja lebih bersemangat dan bermotivasi dalam bekerja.
“Saya sendiri bila makan dikantin, saya bercampur dengan budak-budak. Tidak ada jurang antara kami. Sebaliknya, mereka akan bekerja dengan lebih kuat lagi.

5. Perubahan perlu dilakukan mengiku keadaan semasa.
“Dengan syarikat terdahulu, mungkin cara saya agak kasar dan tegas. Apabila melaksanakan pengurusan disini (Avon Malaysia), saya perlu lebih berhati-hati.”

Mansoor Wan Abdullah

Presiden Avon Malaysia

Mansoor Wan Abdullah dilahirkan dalam keluarga yang agak susah. Beliau merupakan anak keempat daripada sembilan adik beradik. Ayahnya meninggal dunia apabila beliau baru mencecah usia tujuh tahun.

“Sejak itu, emak yang menanggung keperluan kami adik beradik. Pernah kami makan sadin satu tin dan berkongsi 10 orang. Ketika itu, tiada siapa yang mahu mengaku saudara kerana takut kami meminjam duit.”

Kehidupan mereka yang serba kekurangan bukanlah penghalang untuknya berusaha dan belajar bersungguh-sungguh. Akhirnya beliau melayakkan diri menuntut di Maktab Tentera Diraja Malaysia dan seterusnya melanjutkan pengajian di Universiti Putra (Pertanian) Malaysia.

Beliau menyertai Avon Malaysia pada tahun 1992 sebagai Pengarah Khidmat Pelanggan, sebelum mendaki tangga karier satu demi satu sehingga dilantik sebagai Presiden. Sebelum itu bersama Malaysia Tobacco sejak 1978.

Biarpun menerajui sebuah syarikat kecantikan yang 70 peratus pekerjanya adalah wanita, ia bukanlah satu masalah kepadanya. Malah, beliau merasa bangga dengan kejayaan wanita Malaysia dan tidak membezakan jantina kerana setiap mereka mempunyai nilai atau kualiti, pengurusan dan kemanusiaan yang sama.

“Biarpun motto Avon itu sendiri ialah The Company For Women (Syarikat Untuk Wanita), saya tidak merasa terasing saya tetap di kelilingi oleh wanita – emak, isteri, kakak, adik dan anak perempuan.”


Kisah yang menarik:
Ketika di Malaysian Tobacco, beliau bertugas sebagai pembeli daun tembakau. Pada tahun 1980, cuma ada 10 pembeli daun tembakau di seluruh Malaysia. Biasanya, daun tembakau yang dibeli ditimbang terlebih dahulu. Kemudian beliau akan mengajak budak-budak yang bekerja sebagai penimbang tembakau makan dan minum bersama dengan pengurus mereka. Mereka kebanyakannya baru tamat SPM. Ketika berbual-bual, beliau menasihati mereka agar melakukan sesuatu dalam hidup supaya hidup mereka tidak terhad sebagai budak penimbang tembakau sahaja.

Kira-kira 15 tahun kemudian selepas menyertai Avon, beliau ditahan kerana memandu melepasi had laju. Sebaik sahaja pegawai polis datang, beliau menerima tabik hormat. Beliau terkejut kerana tidak menyangka pegawai polis itu ialah budak penimbang tembakau yang pernah dinasihatinya 15 tahun dahulu.

“Encik Mansoor mungkin tidak ingat. 15 tahun lepas, saya sekadar budak penimbang tembakau. Sekarang saya mungkin ada tiga paku atas bahu tetapi 15 tahun yang lalu, Encik Mansoor ada tiga paku dalam hati.”

Baginya, peristiwa ini cukup menarik. “Pada saya itu adalah titik perubahan. Kita buat baik pada orang, hormat orang, orang akan ingat apa yang kita lakukan. Bukan susah pun buat baik.”


Harapannya:
Beliau berbangga kerana banyak cawangan luar negara datang ke Avon Malaysia bagi melihat cara bagaimana mereka mengurus dan mengembangkan perniagan. Malah, ada juga para pegawainya dihantar ke luar negara bagi memula atau memperbaiki pengurursan Avon di negara lain.

“Ini antara kejayaan kita. Bermakna peluang untuk orang kita lebih maju dalan syarikat ini adalah besar. Secara tidak langsung, kita mampu meletakkan nama Malaysia di pentas dunia.”

Wednesday, September 13, 2006

Mengapa kita perlu perancangan hidup jangka panjang?

Setiap orang inginkan keluarga yang bahagia. Oleh itu, setiap keluarga perlu mempunyai matlamat dan impian hidup dengan merancang kehidupan untuk jangka panjang. Perancangan ini membolehkan kita melalui liku-liku hidup dengan terancang dan teratur.

Perancangan jangka panjang ini boleh diibaratkan seperti merancang melayarkan bahtera kehidupan keluarga. Oleh itu merancang pelayaran kehidupan kita untuk asa hadapan adalah penting. Setiap keluarga pasti menempuh beberapa peristiwa seperti persekolahan dan perkahwinana anak-anak, pembelian rumah dan kereta, kehidupan hari tua dan sebagainya. Berpandukan kepada asas kehidupan hari ini, marilah kita fikirkan kehidupan masa hadapan dan untuk merealisasikan impian, marilah kita senaraikan secara terperinci perancangan tersebut

Sumber: Buku Perancangan dan Penyata Kewangan Negara 2005, BNM

Mengapa duit itu penting?

Apabila kita dengar orang kata, ‘duit itu adalah segala-galanya bagi saya, ia amat penting sekali’, kita akan segera anggap yang orang itu mata duitan, terlalu mementingkan duit dan materialistik.

Cuba bezakan dua situasi ini:
1. Mempunyai banyak duit atau harta adalah punca kepada segala masalah. Apakah benar dengan mempunyai duit atau harta yang banyak kita akan menjadi jahat? Rasanya apabila punya banyak duit atau harta, kita punya banyak kesempatan untuk berbuat kebaikan seperti menderma atau bersedekah, hidup lebih tenang bersama keluarga, tidak terkejar-kejar dengan masa, boleh bercuti bersama keluarga, boleh membayar atau selesaikan hutang, beli benda yang selama ini kita mahukan, dan sebagainya. Kita perlu tukar pepatah ini - duit atau harta ialah kunci kebahagiaan. Nabi Muhammad sendiri ada berkata bahawa kefakiran membawa kekufuran. Ia bermakna, ketiadaan harta itu sebenarnya mengundang kesusahan dan masalah yang banyak. Keluarga bahagia tanpa perpecahan, dan hidup dalam keadaan rukun dan damai.

2. Ketiadaan duit atau harta adalah punca kepada segala masalah. Apabila kita ketiadaan duit, ia sebenarnya mengundang lebih banyak kejahatan. Peningkatan jenayah yang berlaku sejak akhir-akhir ini adalah kerana mereka ingin mendapatkan duit dengan cara mudah dan cepat. Mereka merompak bank, melakukan kecurian di kedai emas, memeras ugut, memecah masuk rumah atau menculik bagi mendapatkan wang tebusan. Tujuan mereka ialah mahukan duit. Memang mereka melakukannnya kerana duit, tetapi puncanya ialah kerana mereka tiada sumber kewangan untuk membeli apa-apa yang mereka hajatkan. Mereka tidak dapat membeli bagi memenuhi kepuasan sendiri dan memenuhi kehendak hati. Oleh itu, melakukan jenayah adalah satu kerja yang mudah dan senang. Cuba lihat kes rompakan d sebuah bank tidak berapa lama dahulu. Perompak melarikan wang berjuta-juta dalam masa beberapa minit sahaja, dan turut menyebabkan beberapa pengawal keselamatan terbunuh.

Bila seseorang berkata duit tidak penting, ia seolah-olah meletakkan satu kenyataan bahawa duit itu adalah punca kejahatan. Tetapi tidak sedar bahawa duit sebenarnya kunci kebahagiaan. Duit memang bukan segala-galanya tetapi segala-galanya memerlukan duit. Kita perlu makan, membayar bil air, api dan telefon, membeli pakaian, bayar pinjaman kereta atau rumah, perbelanjaan perubatan, hiburan dan peruntukan kecemasan. Setiap kali melangkah keluar dari rumah, sama ada ke tempat kerja atau pun sekadar berjalan-jalan, ia semua mempunyai kos. Sama ada memandu atau menaiki kenderaan awam, semua menggunakan duit.

Apa yang perlu adalah kita tukar kenyataan itu. Kalau kita kata ‘duit amat penting bagi saya’ memberi makna yang lain kepada sesetengah orang, tukarkan ia kepada ‘duit bukanlah segala-galanya tetapi segala-galanya memerlukan duit.’ Ayat ini lebih menjelaskan tentang kepentingan duit, bukannya diri kita yang mementingkan duit.

Friday, September 01, 2006

Bermula dengan cemerlang

Mengapa perlu bermula dengan cemerlang? Bila permulaan cemerlang, perjalanannya pasti cemerlang dan penamatnya gemilang. Bermula adalah perkara yang penting. Bila dah mula, akan adalah penghujungnya. Jika tidak bermula, kita belum tahu setakat mana kemampuan. Bila dah bermula, kita pasti akan mencari jalan penamat. Tetapi persoalannya, bagaimana harus bermula?

Ada beberapa tips yang boleh saya kongsikan:
1.Tetapkan matlamat apa sebenarnya yang kita mahukan. Jika kita mahu menjadi jutawan pada usia 30 tahun, berusahalah dari sekarang. Kaji bagaimana jutawan muda bekerja. Lihat bagaimana mereka berusaha memantapkan diri dan kerjaya bagi mendapatkan gelaran itu. Lihatlah bidang yang mereka ceburi dan contohi langkah yang mereka ambil. Pasti ada tips dari mereka.

2.Rancang dan lakar pelan perjalanan hidup. Ini penting supaya perjalanan yang telah kita atur selari dengan matlamat yang telah kita tetapkan. Jika berimpian mahu mempunyai sebuah syarikat perabot dua tahun lagi, perbanyakkan ilmu tentang industri perabot. Apakah perabot kegemaran rakyat Malaysia, kos, keuntungan, anggaran pendapatan syarikat, dan jika boleh bekerjalah dengan syarikat perabot. Pasti kita tahu banyak rahsa yang tidak kita sedari. Lebih mudah, belajarlah dari bawah.

3.Usaha dengan gigih. Pastikan berusaha dengan bersungguh-sungguh dan memandang kepada matlamat sebagai pembakar semangat. Sentiasalah cergas setiap hari dan ada keinginan untuk belajar. Apabila berjalan, pastikan anda berjalan lagu, buat kerja dengan pantas, bercakap atas perkara yang perlu dan ringan tulang.

4.Contohi kejayaan orang lain. Jika anda menjadikan Pengarah Urusan sebagai sumber inspirasi, contohilah apa yang dilakukan setiap hari. Lihat bagaimana dia menguruskan masanya, bagaimana dia bercakap, bagaimana dia menghadapi masalah, cara dia membuat keputusan dan sebagainya. Ia menjadi contoh yang terdekat untuk anda ikuti.

5.Jangan mudah putus asa. Peganglah kepada matlamat anda dan buang perasaan putus asa. Anda perlu sedar, kerja keras sahaja yang membantu kejayaan anda. Tiada ruang kejayaan bagi orang malas atu berputus asa.

6.Sentiasa fokus dan ingat matlamat. Setiap hari, ingatkan diri anda tentang matlamat yang anda telah tetapkan dari awal. Jika anda mahu memasarkan produk anda ke luar negeri, maka tetapkanlah matlamat dan fokuskan pemikiran kearah itu. Beli satu peta dunia dan tandakan mana-mana negara yang anda ingin tembusi. Lihatlah peta ini setiap hari dan anda pasti sentiasa teruja dan fokus.

7.Positifkan diri walau apapun yang berlaku. Anda perlu ingat, setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Jika hari ini kertas kerja perniagaan anda ditolak, janganlah merasa hampa. Apa yang perlu anda buat ialah semak kembalikertas kerja itu dan buat kajian semula. Mungkin ada bahagian yang anda tidak sentuh denganmendalam sehingga ia di tolak. Inilah masanya untuk anda perbaiki diri dan perkemaskan usaha.

8.Jangan mudah terpengaruh dengan elemen negatif. Buangkannya jauh-jauh dan ingat kepada perkara yang baik-baik sahaja. Bayangkan kejayaan ada di depan mata dan anda hanya perlu melangkah untuk mendapatkannya. Elemen negatif sekadar membawa sikap yang negatif. Diri anda akan menjadi mundur dan kejayaan tidak akan menghampiri.

Ini adalah sebahagian tips sahaja. Selebihnya adalah pada diri kita sendiri. Jika mahu cemerlang, berusahalah dari sekarang. Tetapkan matlamat dan pasanglah impian. Ingat, sky is the limit. Tiada yang mustahil dalam hidup ini!

Mahu berjaya? – Usaha bersungguh-sunguh

Semasa kita di sekolah, cikgu selalu ulang ayat ‘usaha dengan bersungguh-sungguh.’ Maka kita pun berusahalah dengan bersungguh-sungguh tanpa menyedari tahap bersungguh-sungguh kita itu tidaklah sesungguh mana.

Bagaimana kita tahu yang kita telah bersungguh-sunguh? Bagaimana juga kita tahu yang kita telah berusaha? Semuanya dapat kita lihat apabila tiba saat untuk melihat hasilnya. Ibarat sebatang pokok yang kita tanam, jika elok bajanya, cukup airnya, dijaga rapi, pengairan yang bagus dan cuaca juga elok, maka dengan izin Allah, buahnya masak dengan ranum.

Begitulah kalau usaha menanam dan menjaganya kurang, maka jangan haraplah mahu makan buah yang sedap. Buahnya ada, tetapi hasilnya pasti membuat hati sakit – di tebuk ulat, masam, saiz kecil, tidak menarik, atau pun busuk! Itulah hasil jika usaha tidak bersungguh.

Satu contoh mudah, lihat kepada pejuang kemerdekaan kita dahulu. Jika mereka tidak berjuang bersungguh-sungguh, kita mungkin masih di bawah telunjuk penjajah. Atau mungkin kita merdeka dengan menumpahkan darah sekaligus memakan banyak nyawa rakyat.

Mujurlah kita merdeka dengan rundingan sahaja, biarpun sebelum itu telah ada usaha dan perjuangan menegakkan sebuah negara bangsa. Jika mereka tidak berusaha bersungguh-sungguh saat itu, kita mungkin tidak menghirup angin merdeka seperti mana sekarang.

Thursday, August 31, 2006

Kembali kepada Pencipta

Ada sekali laptop saya hampir seminggu menghadapi masalah untuk di hubungkan ke internet. Puas saya tekan itu ini, dan buat segala benda yang saya ‘rasa’ saya tahu, dan saya rasa saya ‘boleh’ buat. Namun, hasilnya tetap sama. Gagal.

Kemudian, saya tergerak hati melakukan sesuatu. Saya dail talian interaktif pelanggan Streamyx bagi mendapatkan bantuan. Dari jauh, saya diajar setting semula network connection dan segala macam benda yang selama ini saya tahu clik tetapi tidak tahu untuk di buat apa. Akhirnya, tak sampai 15 minit, internet berjaya disambungkan kembali ke laptop. Saya lega dan puas hati, kerana saya menemui jawapan yang sebenar – iaitu kembali kepada pencipta.

Saya teringat satu ceramah yang saya hadiri lama dahulu tetapi satu analogi yang diberi terus melekat dalam fikiran. Menurut penceramah itu, keretanya rosak pada suatu hari. Lalu dia menghantarnya ke sebuah bengkel. Beberapa hari kemudian, keretanya rosak lagi. Dihantarnya semula ke bengkel yang sama. Setelah beberapa kali, masalah yang sama timbul. Keretanya tetap rosak. Dia naik radang. Banyak duit yang terbang, begitu juga masa.

Akhirnya dia ambil keputusan menghantarnya ke pusat servis kereta itu, di ibu pejabatnya. Dia merujuk masalah kepada kakitangan disitu dan diberi nasihat bagi menyelesaikannya. Setelah dibaiki, akhirnya kereta tersebut baik seperti sedia kala. Tidak lagi rosak. Dia merasa puas dan segala masalahnya selesai.

Moralnya? Penceramah itu memberi analogi yang menarik. Jika kereta rosak, kembalikan kepada penciptanya - hantar kepada pusat servisnya, janganlah hantar kepada bengkel, nanti macam-macam dibuatnya. Samalah kita, manusia yang serba tidak sempurna. Jika kita menghadapi masalah, kesukaran dalam hidup, fikiran kusut, tidak keruan, dan seribu satu perkara lagi, cuma satu sahaja jawapannya. Kembalilah kepada Pencipta – ALLAH. Dialah tempat untuk kita bercerita dan mengadu akan segala-galanya, tempat memohon petunjuk dan pertolongan agar ditunjukkan kita jalan yang lurus dan arah yang tepat untuk kita terus melangkah. Selain dari-Nya, bukanlah ketenangan yang kita terima. Mungkin hidup kita lebih teruk dari itu dan tidak ada penyelesaiannya. Hidup akan menjadi lebih teruk.

Kesimpulannya mudah. Saya hadapi masalah internet, terus telefon Streamyx. Kereta rosak pegilah ke pusat servisnya. Kita pula, kembalilah kepada Allah. Dia Yang Maha Agung dan Maha Penyayang.

Sentiasalah kembali kepada pencipta!

Tuesday, August 29, 2006

Kisah kupu-kupu

Alkisah seorang saintis yang asyik memerhatikan kepompong. Dia dapati si anak kupu-kupu bergelut untuk keluar dari kepompong. Atas sebab kesian, saintis tersebut memotong bucu kepompong untuk mengeluarkan si anak kupu-kupu itu tadi.

Anak kupu-kupu itu merangkak-rangkak. Kepaknya kecut dan badannya agak kecil. Saintis itu menunggu dengan harapan badannya akan membesar dan kepaknya akan mengembang. Sangkaannya meleset sekali kerana kupu-kupu itu cacat seumur hidup dan tidak dapat terbang.

Apa yang saintis itu tidak tahu, pergelutan itu suatu perencanaan Allah swt agar cecair dalam badannya mengalir keseluruh kepak, mengembangkan kepak tersebut dan memperkukuhkan binaannya.

Dalam hidup kita begitu juga - kekadang - pergelutan, perjuangan dan usaha gigih diperlukan agar kita berjaya dan kuat dalam menjalani hidup ini. Kalau Allah membiarkan hidup kita ini tanpa dugaan, cubaan dan pergelutan - kita akan gagal dalam kehidupan kita ini.

"Sometimes struggles are exactly what we need in our life. If Allah allowed us to go through life without obstacles, it would cripple us. We would not be asstrong as we could have been. And... we would never fly."

CEO: Latar pendidikan bukan penghalang kejayaan.

Dalam hidup ini, janganlah kita terhadkan diri dalam satu kemahiran tertentu sahaja. Pelbagaikan kemahiran dan tingkatkan ilmu di dada. Latar belakang pendidikan yang kita miliki bukanlah suatu halangan untuk kita memajukan diri untuk menerokai bidang lain. Itu sekadar asas sahaja, iaitu memberi kita pendedahan tentang sesuatu bidang. Selepas itu, terpulanglah kepada kita untuk melihat masa depan.

Cuba perhatikan nama-nama dibawah

1.Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai latar belakang dalam bidang kedoktoran tetapi menjadi Perdana Menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat.
2.Ahmad Izham Omar, COO 8tv mempunyai kelulusan dalam bidang muzik. Beliau pernah membuka syarikat rakamannya sendiri, Positive Tone yang banyak menerbitkan album Inggeris artis tempatan. Apabila beliau beralih ke 8tv, namanya semakin harum dan dia semakin dikenali.
3.Begitu juga dengan Tony Fernandes, yang turut beralih dari bidang muzik untuk terjun ke dunia penerbangan walaupun tidak mempunyai apa-apa kelayakan mahupun pengetahuan dalam bidang ini. CEO Air Asia ini menjadikan Air Asia sebagai syarikat penerbangan tambang murah yang semakin dekat dihati rakyat. Malah, kini kebanyakan rakyat Malaysia memilih untuk terbang bersama Air Asia berbanding pesaing terdekatnya, MAS.

Cuba perhatikan kisah benar ini.

Datin Paduka Siti Sa’diah Sheikh Bakir, Pengarah Urusan KPJ Healthcare Bhd.
Beliau menerima ijazah dalam bidang Ekonomi dari Universiti Malaya pada 1974. Biarpun tidak mempunyai latarbelakang dalam bidang perubatan, beliau kini menjadi Pengarah Urusan KPJ Healthcare Bhd, sebuah syarikat yang bertanggungjawab memberi perkhidmatan kesihatan swasta terkemuka di Malaysia.

KPJ Healthcare Bhd bermula dengan Hospital Pakar Johor pada 1981 dan Hospital Tawakal pada 1988. Kini beliau mengetuai sebuah syarikat yang mengurus 17 buah hospital swasta, 13 daripadanya terletak di Malaysia, 3 di Indonesia dan satu di Dhaka, Bangladesh.

Ramai yang menyangka beliau mempunyai latarbelakang kedoktoran kerana mampu mengurus sebuah syarikat yang terlibat dalam hal-ehwal kesihatan dan perubatan. Malah, ada yang menyangka beliau ialah seorang doktor. Tetapi itu bukanlah halangan untuk beliau mengurus sebuah syarikat yang turut mempunyai beberapa buah kolej kejururawatan.

Ilmu yang anda di sekolah, universiti atau kolej terima bukanlah penentu masa depan anda. Ia sekadar pencetus untuk anda terus melangkah ke hadapan, bukannya untuk menarik anda ke belakang. Yang penting, anda tahu apa yang anda mahu dan berusahalah kearah itu.

C.E.O

Pernah bercita-cita menjadi CEO? Atau ini pertama kali mendengar perkataan CEO? Saya mendengar perkataan ini semasa di tahun pertama menuntut, ketika itu sedang berdiskusi dengan rakan mengenai subjek Pengurusan. Naif sungguh nampaknya saya, pertama kali dengar perkataan itu. Selalu yang saya dengar ialah Pengarah Urusan, Pengerusi, Presiden, Pengarah, Pengurus Besar dan Pengurus.

Sejak itu pelbagai perkara bermain di fikiran saya. Apa agaknya yang CEO buat? Apa tugas CEO sebenarnya? Sudah tentu macam-macam perkara. Tetapi, pernahkah anda terfikir apa yang CEO fikirkan?

Oleh kerana mereka adalah kepala syarikat, maka segala urusan syarikat terletak di bawah tanggungjawab CEO. Saya ada membeli sebuah buku (kalau boleh dikatakan buku) atau direktori berjudul ‘Bumi CEO Malaysia 2005 – Malaysia’s Top 200 Bumiputera Corporate Chiefs.’ Buku ini menyenaraikan 200 CEO Bumiputera yang berkhidmat di syarikat yang terdapat di Malaysia.

Buku ini terbitan 2005, jadi mungkin ada CEO yang tidak lagi berkhidmat dengan sesuatu syarikat itu atau sudah naik pangkat atau pelbagai kemungkinan lain. Apa yang penting ialah siapa mereka dan apa yang mereka lakukan. Itu yang saya ingin tahu.

Ada kisah menarik yang mahu saya kongsikan. Nanti saya pos satu-satu dalam entri. Kalau anda bercita-cita mahu menjadi CEO atau mahu membaca kisah mereka, teruskan membaca entri berikutnya.

Positif Sahaja

Kenapa namanya Positif Sahaja? Kerana saya mahu yang positif sahaja di sini. Saya mahu berkongsi tentang perkara yang positif dan pandangan yang positif. Saya mahu fokus dan melihat kepada positif.

Itu sahaja. Dan positif sahaja.

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]